UniMAP Juara MTE Empat Tahun Berturut-turut

KANGAR-- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengekalkan kejuaraan buat kali keempat berturut-turut dengan meraih tujuh pingat emas pada Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) 2016, semalam.

Dekan Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi UniMAP Prof Dr Syed Alwee Al Junid Syed Junid berkata kejayaan 100 peratus itu mengulangi rekod pada 2012 dan 2013 apabila kesemua 26 produk dipertaruhkan mendapat pingat.

"Tahun ini, dua produk aplikasi perubatan yang mendapat pingat emas, turut meraih anugerah terbaik iaitu Novel Hydroxyapatite (HAP) Nanoparticles Production For Drug Delivery hasil penyelidikan pensyarah Kejuruteraan Bioproses UniMAP Dr Midhat Nabil Ahmad Salimi.

"Sementara produk kedua ialah sebuah kit kanser, 'A Non-Invasive Cervical Cancer Detection Kit' hasil penyelidikan pensyarah Kejuruteraan Nano Elektrik UniMAP Prof Dr Uda Hashim," katanya dalam kenyataan di sini hari Sabtu.

UniMAP turut membawa pulang tujuh pingat perak dan 12 gangsa pada MTE 2016, bermula 18 Feb lepas, yang mempertandingkan lebih 300 produk daripada pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta dari dalam dan luar negara.

Pada ekspo penyelidikan tahunan anjuran Persatuan Saintis Penyelidikan Malaysia (MARS) itu, bekas Naib Canselor UniMAP Brig Jen Prof Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin menjadi individu pertama menerima Anugerah Khas 'The MARS Service Award'.

Majlis penyampaian anugerah dan hadiah MTE 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu semalam, disempurnakan Presiden MARS Dr Wan Manshol Wan Zin.

Sementara itu, Wan Manshol dalam ucapannya menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan dan jasa Kamarudin yang sentiasa aktif membantu mempromosi produk-produk yang dihasilkan penyelidik.

UniMAP sentiasa menambah bilangan produk untuk dipertandingkan setiap tahun, sekali gus membantu mengangkat bakat penyelidik-penyelidik muda, katanya.

Sourced from:
Bernama |20 February 2016