Vaksin halal mulai 2017

MALAYSIA merancang memperkenalkan vaksin halal pada 2017 kerana pasaran segmen itu berpotensi besar untuk diterokai dan platform Halal Malaysia dipercayai di seluruh dunia.

Pengerusi Pharma+Bio Asia 2015, Prof Datuk Dr Abu Bakar Abdul Majeed berkata, pihaknya berusaha meletakkan Malaysia sebagai pasaran vaksin halal dengan jumlah pelaburan RM336 bilion.

“Projek vaksin halal di Nilai, Negeri Sembilan dalam proses pembangunan infrastruktur.

“Proses pengilangan vaksin masih belum bermula dan akan mengambil masa. Kita melihat vaksin halal penting terutamanya apabila ia diperlukan jemaah haji,” katanya selepas merasmikan majlis Pembukaan Rasmi Persidangan dan Pameran Pharma+Bio Asia 2015 di Kuala Lumpur, semalam.

Projek itu mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk pembangunan fasiliti dan proses validasi pengeluaran vaksin.

“Kita bekerjasama dengan beberapa negara seperti Cuba untuk membangunkan vaksin dan kajian dan penyelidikan dilakukan. “Dana pembangunan vaksin ini dibiayai Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi,” katanya.

Beliau berkata, berikutan perkembangan pesat industri farmaseutikal Asia, pihaknya berusaha berdaya saing dalam pasaran. Jelasnya, Asia mempunyai permintaan farmaseutikal tinggi dan dianggarkan menguasai 30 pasaran pada 2016.

“Setakat ini, terdapat sejumlah 40 projek penjagaan kesihatan mengumumkan di bawah Bidang Keberhasilan Ekonomi Negara Penjagaan Kesihatan dan dijangka mewujudkan 26,966 pekerjaan dan menjana pendapatan RM6.59 bilion pada 2020,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai program itu, Pharma + Bio Asia 2015 akan menjadi platform pemain utama industri membincangkan perkembangan semasa di Asia, peluang baharu dan membuat perubahan positif dalam pharma dan biofarmaseutikal.

Sourced from: Sinar Harian |Friday, 4 September 2015