Home arrow News arrow Technology arrow Sektor teknologi tinggi jadi keutamaan
Sektor teknologi tinggi jadi keutamaan Print E-mail

Date:          5 January 2010
Publication: Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 4 Jan. - Malaysia memberikan keutamaan teratas kepada usaha membangunkan sektor teknologi tinggi sebagai sebahagian daripada strategi untuk mengekalkan lajakan pertumbuhan ekonomi dan bagi mengatasi cabaran-cabaran global yang lebih sengit, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir. 

Langkah itu juga bertujuan meningkatkan kelebihan daya saing dan daya tahan ekonomi, katanya.

"Justeru itu, Malaysia tidak lagi berusaha memperkenal dirinya sebagai destinasi pelaburan bagi operasi jenis pemasangan dan projek- projek yang memerlukan banyak tenaga buruh.

"Sebagai sebuah ekonomi terbuka, Malaysia terjejas oleh krisis ekonomi global dalam dua suku pertama (2009). Ini menyebabkan penguncupan sebanyak 6.2 peratus dalam suku pertama dan 3.9 peratus dalam suku kedua," katanya dalam satu wawancara.

Mukhriz berkata, Malaysia, seperti juga banyak negara lain di rantau ini, menghadapi tugas besar untuk menarik FDI dan pelaburan domestik ke dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan disebabkan oleh ketidakupayaan dunia korporat untuk melabur.

"Keupayaan dunia korporat untuk melabur berkurangan disebabkan oleh syarat-syarat kredit yang lebih ketat, penyusutan keuntungan syarikat dan kemerosotan mendadak permintaan global," katanya.

Selain pelonggaran 27 subsektor dalam industri perkhidmatan bagi membantu pertumbuhan dalam sektor pembuatan, kata Mukhriz kementeriannya, melalui Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), akan terus berusaha menarik pelabur asing berpotensi dalam banyak program perdagangan dan pelaburannya.

Program-program itu ialah misi perdagangan dan pelaburan, mesyuarat meja bulat, mini seminar, misi projek khas, pasukan promosi khas, program pemimpin industri, program lawatan wartawan, misi perniagaan, iklan dan rencana iklan, penyertaan dalam pameran antarabangsa dan penganjuran persidangan antarabangsa, katanya.

Sebagai sebuah negara yang pasaran domestiknya kecil, pertumbuhan ekonomi Malaysia telah lama dipacu oleh perdagangan antarabangsa dan pelaburan asing, tegas beliau. - Bernama

 

 

 
< Prev   Next >

Contact now

PROTEMP Group of Companies
38-3, Jalan PJU 5/9 Dataran Sunway
Kota Damansara, 47810,
Petaling Jaya,
Selangor, Malaysia
Tel: +603 6140 6666
Fax: +603 6140 8833
Skype: ProtempGroup
Email: This e-mail address is being protected from spam bots, you need JavaScript enabled to view it
Website: www.protempgroup.com